Wednesday, May 26, 2010

Hadiah Dari Ayah

Sehari sebelum saya berangkat ke kota, ayah memanggil saya ke pejabatnya. Saya agak hairan ketika itu, apatah lagi apabila ayah menyuruh saya masuk ke pejabatnya. Kami jarang sekali dibenarkan masuk ke pejabatnya, terutama sekali ketika ayah sedang sibuk menyiapkan bahan penulisan yang bakal dicetakkan di dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan.

"Ambil bungkusan ini dan buka hanya apabila kamu rasa benar-benar rasa buntu untuk menyelesaikan masalah kamu", kata ayah sambil menyerahkan sebuah bungkusan yang sederhana besar. Dan esoknya ayah menghantar saya hingga ke stesen bas dengan senyuman penuh makna.

Suatu hari, setelah hampir 3 bulan saya berada di kota, saya ditimpa satu masalah yang benar-benar membuat saya buntu dan hampir putus asa untuk menghadapinya. Saya teringatkan bungkusan yang ayah berikan dulu. Saya kira, inilah masanya untuk saya membuka rahsia yang tersirat di sebalik bungkusan tersebut.

Ternyata di dalam bungkusan itu terkandung sehelai sejadah lama, sehelai kain pelikat baru dan sebuah kompas penunjuk arah kiblat serta sekeping nota yang berbunyi :-

"Tiada namanya lautan jika ia tidak bergelora, tiada namanya bumi jika tidak ditimpa hujan dan tidak namanya kehidupan jika tiada masalah.

Sebagaimana warna menyempurnakan lukisan, masalah pula adalah penyempurnaan kehidupan.

Bersyukurlah, sekurang-kurangnya kamu masih hidup dan Tuhan masih mengambil berat dengan kamu, kerana itu dianugerahkan olehNya masalah. Buat kamu menajamkan lagi akalmu.

Tenang dan rapatkan kedua tangan menadah doa mohon petunjuk kepada Allah swt. Kerana sesungguhnya Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui"

~Muhammad Salleh~

Saya terpana, ternyata ia adalah hadiah daripada datuk saya kepada ayah saya dan sekarang diwariskan kepada saya.

Dan sejak dari hari itu, saya selalu mengucapkan syukur setiap kali saya dilanda masalah kerana saya tahu bahawa Tuhan masih mengambil berat akan saya.


Moral:

Kita seringkali mengeluh setiap kali kita dilanda masalah. Malah seringkali kita menyalah Tuhan kerana ditimpa musibah tanpa kita sedar bahawa ternyata musibah itu bukan saja untuk menyedarkan kita dari lena tetapi hikmah di sebaliknya adalah untuk menajamkan lagi akal kita.

Kita sebenarnya wajib bersyukur kerana setelah sekian lama dilimpahi nikmat, kita hanya diuji dengan sedikit musibah saja. Dan yang paling penting, kita masih lagi hidup, masih dapat memanjatkan doa dan memohon petunjuk dariNya,serta memohon ampun kepadaNya jika ada salah dan silap yang kita lakukan.

Kadang kala, musibah itu adalah peringatan untuk kita memuhasabahkan kembali diri kita tentang apa yang telah kita lakukan dan apa yang masih belum kita tunaikan.

No comments: